Sunday, October 25, 2009

Juki si kuda liar

Inilah dia mesin jahit yang saya gelar kuda liar itu. Namanya Juki. Di pasaran negara barat ia dipanggil Jack. Kalau tak silap saya, ia mampu menjahit sebanyak 3000 tusukan jarum dalam seminit. Tukang jahit yang menggunakannya sangat mahir. Dia mengetatkan pedal kaki mesin ini. Sebab itulah apabila kaki saya menekan pedal tersebut, mesin ini terus meluncur menarik kain perca saya. Terkasima saya dibuatnya.

Friday, October 23, 2009

Seni Menjahit


Saya mula meminati seni menjahit apabila bekerja di sebuah butik. Ianyapun mula secara kebetulan sahaja. Pada awalnya saya hadir ke butik untuk membangunkan sistem maklumat komputer. Di sana saya melihat bagaimana kain yang dihantar pelanggan dipotong, dijahit dan dikemaskan sehingga menjadi pakaian mengikut gaya dan citarasa yang dikehendaki.



Apabila saya bosan menulis aturcara program, saya tergerak untuk cuba memotong kain perca dan menjahitnya sendiri.


Kali pertama mencubanya, saya rasa sungguh sukar mengawal mesin jahit ibarat menunggang kuda yang liar (he he saya pernah jatuh kuda semasa di kampus). Bagaimanapun lama-kelamaan saya berjaya juga melakukannya. Bermulalah satu hobi baru untuk saya.